Thursday, July 29, 2010

Panduan Mencari Isteri Solehah

Mudahnya mencari isteri solehah!

"Susah betul nak cari isteri solehah," luah seorang pemuda selepas Seminar Keluarga Bahagia anjuran sebuah badan kebajikan.

"Macam cari gagak putih," tambahnya.

"Memang dah hukum dunia, yang berharga itu susah nak dapat," katanya lagi. Tunggu respon sayalah tu. Saya cuma tersenyum.

"Dah kahwin?" Akhirnya saya bertanya.

"Belum lagi!"

"Kenapa?" dia pula tersenyum.

"Belum dapat yang solehah?" saya terus mengusik.

"Saya dah 28 tahun.Sepatutnya umur 25 dah kahwin. Dah terlajak lah ni."

"Oh begitu. Biar terlajak usia, jangan tersalah pilih!" usik saya lagi.

"Nak cari yang betul-betul solehah bukan senang".

"Kalau tak jumpa, macam mana?"

"Tulah yang saya pening ni. Syarat-syarat saya ni susah sangat ke?"

"Apa syaratnya?"

"Syarat-syarat wanita solehah. Mesti solat, taat ibu bapa, berakhlak, tutup aurat, pandai mengaji, puasa sunat…."

"Macam tu tak susahlah, ramai yang ada syarat-syarat macam tu," balas saya.


UKUR TAKWA

"Tu yang lahiriah. Yang paling penting bertakwa," katanya lagi.

"Macam mana pula nak ukur takwa tu?" tanya saya.

"Tu yang pening. Takwa tu dalam hati. Ni soal hati. Tapi apa boleh buat, saya nak jugak isteri solehah, isteri yang bertakwa!"

"Nak tak kalau saya bagi tips mudah, dapat isteri solehah?" pelawa saya.


ADA CARA LAIN

"Saya tak paham. Macam mana kita boleh nilai calon isteri tanpa menilai syarat-syaratnya. Itukan panduan daripada hadis?"

"Untuk dapat isteri solehah, jadikan diri kita dulu calon suami soleh. Cuba cari ciri-ciri suami soleh. Bina semua ciri tu dalam diri kita. Bina sahsiah, lahiriah seorang lelaki soleh kemudian muhasabah pula soal hati. Ukur iman dan takwa kita".

"Nak ukur iman & takwa kita, susah tu. Itu soal maknawi"

"Tapi, jauh lebih mudah dari nak ukur iman dan takwa orang lain."



LEBIH TEPAT

"Semuanya terletak pada diri kita sendiri. Lebih cepat kita bina sifat-sifat lelaki soleh, tingkatkan iman dan takwa, lebih cerahlah peluang untuk dapat isteri solehah. Semuanya atas usaha kita sendiri. Sebelum ni, kita bincang pasal menilai diri orang lain dulu. Tu yang kita silap. Bukankah Allah (SWT) dah jamin, lelaki mukmin untuk wanita mukminat? Lelaki soleh jodohnya wanita solehah? Insya-Allah (SWT)."



TERLALU IDEAL

"Habis tu, saya kenalah berhenti cari wanita solehah sebab nak jadi lelaki soleh?"

"Tak begitu. Lebihkan nak jadi lelaki soleh sambil tu teruslah cari isteri solehah."

"Ok juga tu! Serampang dua mata,"katanya.

"Satu lagi, berpada-padalah dengan piawai solehah awak tu. Jangan terlalu tinggi. Nanti tak tercapai. Cukuplah dengan tahap sederhana."

"Maksudnya?"

"Jangan terlalu ideal menilai calon isteri sebab sifat-sifat solehah itu 'on going process' (dibina secara berterusan) Mungkin sebelum kahwin tahapnya rendah sikit, tapi dengan pimpinan suaminya nanti tahap solehahnya boleh diupgradekan lagi."



MUDAH BUKAN UNTUK DIPERMUDAHKAN

"Boleh lebih kurang lah ni ye?"

"Salah tu. Panduan dan ajaran islam mudah. Tapi bukan alasan untuk dipermudahkan."

"Apa kaitannya dengan yang kita bincang sekarang ni?"

"Gini, awak mesti lebih ketat dalam menilai diri sendiri. Jangan ambil mudah soal iman & takwa diri sendiri. Letakkan piawai tinggi untuk diri sendiri.



" Bukankah lelaki akan jadi pemimpin rumahtangga?







Penilaian calon isteri sepatutnya rendah sikit, nanti senanglah nak bentuk bila dah jadi isteri kita."

"Oh saya faham"

"Bagus tu. Sayangnya kebanyakan lelaki menilai sebalikya, untuk dirinya dinilai dengan piawai soleh yang rendah.



Tetapi untuk calon isterinya dinilai dengan solehah yang tinggi. Itu silap!"





"Alhamdulillah, saya harap jodoh saya akan tiba nanti."

"Amin, tamatkanlah penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh diri."



"Dialah Allah (SWT) dilangit dan dibumi.Dia mengetahui yang kamu rahsiakan dan

yang kamu lahirkan dan mengetahui apa-apa yang kamu usahakan" (Al- An'am: 3)

"Ya Allah (SWT), rezekikanlah aku dengan cintamu, dengan orang yang mencintaimu, dengan cinta yang boleh mendekatkan aku dengan cintamu"

Rahsia Menjadi Isteri Solehah

ADA yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran?

Wanita solehah ialah mereka yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.

Bukan perkara yang susah mahu menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.

Ada yang berkata senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.

Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.

Rasululullah s.a.w pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.

Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Kadangkala kita tertanya-tanya mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka dapat.

Sebenarnya, sesetengah lelaki gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada suami.

Mungkin ada yang berkata, wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat tip.

Adakah isteri juga mahu suami memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu? Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan mereka juga sama dengan pelacur.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Isteri yang sengaja enggan melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.

Kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki.





Sumber: Metro

Ciri-Ciri Isteri Solehah

Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

* Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya dan pandangan matanya sendiri. Tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.


* Isteri sedia menjadikan suami sebagai ketua dalam rumah tangga mereka. Ini kerana sifat semulajadi itu Allah anugerahkan kepada lelaki.


* Isteri sedia memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan suami tidak bertentangan perintah agama.


* Isteri sedia memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya sehingga membuatkan suami berasakan rumah tangganya adalah tempat untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dari sebarang masalah kerja.


* Isteri yang sentiasa menjaga rahsia dan maruah suaminya, begitu juga dengan maruahnya sendiri ketika ketiadaan suami. Isteri mestilah memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah atau untuk mengerjakan puasa sunat.


* Isteri mestilah bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar sederhana dan tidak membazir. Cara ini dapat menyelamatkan suami daripada masalah kewangan.


* Isteri yang sedia menerima pemberian suami dengan penuh keikhlasan dan kerelaan. Isteri tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu menunaikannya.


* Isteri yang sentiasa bersyukur dan tenang, sama ada menerima nikmat atau dugaan daripada Allah. Sedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu serta perintah Allah dengan tabah dan sabar.


* Berdiam diri sambil mendengar bila suami bercakap.


* Isteri yang sedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah suami bila diperlukan.


* Isteri yang sentiasa menghias diri bila di hadapan suami dan

sebaliknya pula bila ketiadaan suami.


* Isteri yang sentiasa mendahulukan keperluan suami dari keperluannya sendiri.


* Isteri yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun dalam perkataan dan juga perbuatannya.


* Isteri yang menemani suaminya ke muka pintu bila ia hendak keluar dan menyambutnya dengan senyuman bila ia pulang.

You Are Not Alone -Micheal Jackson